Johnathan meraih pingat perak dalam acara 10m Air Pistol dan pingat gangsa untuk acara 50m Pistol di Sukan SEA Singapura 2015 baru-baru ini.
Atlet menembak negara, Johnathan Wong mengharapkan peluang beraksi di Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) di Gabala, Azerbaijan, Ogos ini bagi mencerahkan peluangnya memburu tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan.
“Sasaran saya sekarang adalah ke Piala Dunia tetapi Majlis Sukan Negara belum memuktamadkannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain Piala Dunia ISSF dari 6 hingga 16 Ogos itu, Johnathan berkata Kejohanan Asia di Kuwait pada Oktober juga akan menjadi medan terakhir tahun ini untuk dia cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Penembak berusia 23 tahun itu kini berada di Korea Selatan bagi menyertai temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) bermula 3 hingga 14 Julai ini.
Katanya, Universiade adalah platform terbaik membuktikan kemampuannya untuk mendapat peluang bertanding di Piala Dunia ISSF.
“Saingan di Universiade juga sengit. China akan menghantar atlet utama mereka manakala negara lain mengirim atlet muda setanding dengan penembak senior.
“Saya boleh menilai prestasi saya dengan mereka. Jika ada peluang sehingga ke final, saya akan cuba meraih pingat emas.
“Kejayaan di Universiade akan memberi keyakinan menghadapi Piala Dunia dan Kejohanan Asia nanti,” katanya, yang mengambil bahagian dalam acara 10m Air Pistol dan 50m Pistol di Universiade Gwangju itu.
Johnathan meraih pingat perak dalam acara 10m Air Pistol dan pingat gangsa untuk acara 50m Pistol di Sukan SEA Singapura 2015 baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan