Khamis, 6 Ogos 2015

Kehilangan beberapa tonggak utama jejaskan permainan T-Team

T-Team

Pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner mengakui persembahan anak buahnya masih belum mantap sehingga gagal memanfaatkan deretan peluang yang terhidang dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan itu.


KUALA TERENGGANU, 5 Ogos:

Kehilangan beberapa tonggak pasukan jelas memberi kesan kepada aksi kelab T-Team dalam saingan bola sepak Liga Perdana sejak kebelakangan ini.
Terbaru, T-Team sekadar mampu seri 1-1 dengan Negeri Sembilan biarpun beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.
Pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner mengakui persembahan anak buahnya masih belum mantap sehingga gagal memanfaatkan deretan peluang yang terhidang dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan itu.
Steinbruckner mengakui ketiadaan penyerang import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiev yang terpaksa berehat kira-kira dua bulan akibat kecederaan lutut, sedikit sebanyak merencatkan jentera serangan mereka.
Selain Farhod, ketiadaan pemain pertahanan Mohd Hassan Basri Ahmad Ridzuan dan pemain tengah Ahmad Takiyudin Roslan yang dibelenggu kecederaan, turut mengganggu perancangannya.
“Kita harap mereka (Mohd. Hassan dan Ahmad Takiyudin) dapat pulih segera dan kembali memperkuatkan pasukan selepas ini,” katanya.
Mengulas lanjut persembahan anak buahnya terutamanya penampilan kedua pemain import baharu dari Croatia, Tomislav Busic, Steinbruckner berkata pemain itu beraksi dengan baik namun belum berada pada tahap terbaiknya.
Terengganu kini menduduki tangga kedua Liga Perdana dengan 34 mata selepas 17 perlawanan, dua mata di belakang pendahulu, Kedah yang juga sekadar seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang semalam.

Tiada ulasan: