Khamis, 6 Ogos 2015

Kos perbelanjaan Jazeman sertai F1 terlalu tinggi – Khairy

Khairy-Jamaluddin-M

Khairy Jamaluddin berkata sehingga kini belum ada mana-mana pihak tampil membantu Jazeman bagi menyertai perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan.


CYBERJAYA, 4 Ogos:

Kementerian Belia dan Sukan menyeru pihak swasta membantu dalam aspek kewangan untuk membolehkan pelumba negara, Jazeman Jaafar menyertai perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata sehingga kini belum ada mana-mana pihak tampil membantu Jazeman, 22, yang kini berlumba dalam Siri Dunia Formula Renault 3.5 bagi ‘Asia Racing Team’.
Beliau berkata kerajaan tidak dapat membantu menanggung kos perbelanjaan tinggi itu yang dianggarkan bernilai RM63 juta.
“Jazeman dan bapanya Datuk Jaafar (Abdul Hamid) telah berjumpa saya sebanyak dua tiga kali mengenai perkara itu
“Saya masih lagi tengah memikirkan bagaimana dapat kita bantu Jazeman,” katanya selepas merasmikan Liga Bola Keranjang NBL Asia, di sini, hari ini.
Khairy berkata sehingga kini Petronas merupakan pelabur utama kepada Jazeman dan telah melakukan pelaburan begitu banyak dalam kerjaya pelumba muda itu menerusi Program Pembangunan Bakat Petronas sejak empat tahun lepas.
Mengenai Liga Bola Keranjang NBL Asia, Khairy berkata penganjuran liga itu oleh NBL Asia Sdn Bhd dengan sokongan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mampu mengangkat prestasi sukan bola keranjang negara setaraf peringkat Asia Tenggara.
Khairy yakin liga profesional tempatan itu juga merupakan satu inisiatif dalam mencari pemain pelapis di peringkat akar umbi.
“Saya melihat daripada segi kebolehan dan kemahiran, pemain kita tidak berada jauh beza dengan juara Asia Tenggara iaitu Filipina dan Indonesia,” katanya.
Pengarah Urusan Seri Mutiara Development Sdn Bhd, Datuk Benny Heo berkata NBL Asia Sdn Bhd merupakan anak syarikatnya yang menaja sebanyak AS$5 juta (RM19,272,500) bagi tempoh lima tahun bagi program pembangunan sukan bola keranjang negara melalui penganjuran liga profesional tempatan itu.
Katanya liga tersebut dijadual bermula pada awal tahun hadapan melibatkan enam hingga lapan kelab tempatan dan Asia Tenggara.

Tiada ulasan: