Atlet negara, Darien Lum Lun Lit (depan, tiga kiri) memenangi dua pingat emas pada kejohanan Olimpik khas dunia 'Special Olympic World Games' yang disertainya di Los Angeles, Amerika Syarikat. Kontinjen negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu. Foto Bernama
SEPANG, 5 Ogos:
Dua pingat emas daripada Darien Lum membantu kontinjen Orang Kurang Upaya (OKU) Intelektual negara mengumpulkan enam pingat emas di Sukan Olimpik Istimewa di Los Angeles, sekali gus menyamai pencapaian dalam edisi empat tahun lalu.
Darien menjuarai acara 100m dan lompat jauh lelaki manakala empat pingat emas lagi disumbang Chia Yuan Sheng (100m wanita), Clarence Junis (renang 50m gaya bebas lelaki), Muhamad Umar Hafiy Mohd Firuz (golf), Md Isamudin Mohd Samsudin dan Toh Hong Hui (tenpin boling berpasangan lelaki).
Kontinjen negara turut menyumbang lapan pingat perak dan tujuh gangsa pada temasya yang berlangsung dari 25 Julai hingga 2 Ogos lepas
“Saya tidak menyangka dapat meraih pingat emas. Jurulatih menasihatkan saya supaya buat yang terbaik. Rutin harian saya ialah joging dan bermain bola untuk memastikan kecergasan dalam keadaan baik selain berlatih bersama jurulatih.
“Semasa saya menang pingat emas, saya terus telefon ibu bapa saya…kemenangan ini saya hadiahkan kepada mereka yang selalu menyokong saya bergiat aktif dalam sukan,” katanya Darien, 20, yang berasal dari Kajang.
Darien ditemui pemberita selepas pulang bersama kontingen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) di sini hari ini. Dia juga berharap dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa serta memasang impian mewakili negara dalam Sukan Paralimpik.
Sementara itu, Presiden Olimpik Istimewa Malaysia, Jayasingh Rajiah berkata kejayaan kontinjen tersebut membuktikan kegigihan mereka mahu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, semua atlet negara yang mengambil bahagian kali ini baru pertama kali menyertai Sukan Olimpik Istimewa ini.
“Saya tidak meletakkan sasaran tinggi kepada mereka tetapi tidak menyangka pada hari pertandingan mereka menunjukkan keazaman tinggi.
“Enam pingat emas ini menyamai pencapaian empat tahun lepas tetapi penyertaan atlet negara kali ini lebih sedikit. Mereka juga hanya berlatih secara sendiri iaitu di sekolah masing-masing,” katanya.
Jayasingh berkata walaupun kos menghantar atlet menyertai temasya itu ditanggung sepenuhnya oleh persatuan, beliau berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang turut hadir memberi sokongan kepada atlet negara.
“Memang kita tidak memohon kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk menghantar atlet ke Sukan Olimpik Istimewa tapi Menteri (Khairy) sedia membantu kami. Beliau juga menjemput semua atlet untuk makan malam serta memberitahu akan memberikan sesuatu kepada atlet ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan